Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan supaya menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penolong gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berhubung kerugian besar urusniaga matawang dan Forex Trading pada 1991.
Walaupun Abdul Murad sebelum ini mendakwa sebanyak AS$10 bilion kerugian pada pasaran pertukaran asing, namun Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya lebih AS$180 bilion daripada Forex Trading Exposures dan Forex Trading Loss telah kerugian dan 'ditutup' (cover up) mengenainya.
Sehubungan itu, ekoran jumlah kerugian yang banyak Khairul menggesa agar RCI ditubuhkan secepat mungkin agar jumlah wang berkenaan dapat disiasat dan disahkan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Pemuda Umno, Menara Dato Onn di ibu negara hari ini.
Selain itu, Khairul turut menggesa penasihat DAP Lim Kit Siang agar memberi pendiriannya dalam isu berkenaan.
Katanya, Lim perlu menyatakan pendiriannya mengenai isu kerugian pasaran pertukaran asing pada era Tun Dr Mahathir Mohamad itu kerana sebelum ini Lim didakwa lantang dalam isu berkaitan skandal Forex.
Sebelum ini Agensi Perisikan Pusat (CIA) membayangkan kerajaan pimpinan Mahathir sedar tentang berlaku urusan meragukan pada Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang mengakibatkan kerugian kira-kira AS$1 bilion pada 1980-an.
Abdul Murad pula sebelum ini turut mendakwa bank pusat kerugian AS$10 bilion dalam pasaran pertukaran asing pada era Mahathir.