Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke mendesak universiti itu agar menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas dirinya bagi membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi itu terhadap kebebasan bersuara.
Wong juga pada masa sama meminta naib canselor universiti berkenaan, Abdul Rahim Hashim tampil dan membuat penjelasan mengenai ucapan didakwa berbaur perkauman ketika Kongres Maruah Melayu (KMM) sebelum ini.
Terdahulu hari ini Pengerusi Lembaga Pengarah UM Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Wong yang melakukan protes ketika majlis konvokesyen pada Isnin lalu.
Dalam kenyataan tersebut, beliau menegaskan UM sentiasa mendukung kebebasan akademik dan kebebasan bersuara, namun tindakan dilakukan Wong tidak menghormati istiadat konvokesyen yang diraikan ibu bapa dan tetamu yang hadir.