Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti rawatan persenyawaan tabung uji atau in-vitro fertilisation (IVF).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama, berkata pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius, akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.
“Hari ini kadar kesuburan di Malaysia menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada 70-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.